Iran memiliki senjata bahaya iaitu jurulatihnya, Carlos Queiroz yang cukup mengenali pemain-pemain Portugal kerana pernah membimbing skuad negara kelahirannya pada 2008 hingga 2010 dan 1991-1993.

Sejak Queiroz hadir sebagai pengendali Team Melli tujuh tahun lalu, dia juga berjaya membentuk kestabilan dalam bola sepak Iran, malah kekalahan tipis 0-1 kepada Sepanyol pada aksi kedua Kumpulan B, Khamis lalu tidak langsung mengikis keyakinan mereka.

“Sudah tentu kami bakal berdepan perlawanan yang sukar kerana Portugal antara pasukan terkuat dunia.

“Selama tujuh tahun membimbing Iran, pertemuan dengan Portugal adalah yang paling penting dan menarik buat saya.

“Kemenangan akan membawa kami ke peringkat kalah mati dan kami sudah cukup bersedia untuk melakar sejarah.

“Saya mahu memenuhi impian semua rakyat Iran, itulah tanggungjawab saya sepanjang di sini,” kata Queiroz dalam kem latihan Iran semalam.

Sementara itu, kapten Iran, Karim Ansarifard berkata, pasukannya telah banyak belajar daripada Piala Dunia terdahulu dan tahu bagaimana hendak menangani Portugal dalam edisi kali ini.

“Iran diketuai oleh jurulatih terbaik di dunia. Dia telah mengajar kami bagaimana hendak berlawan, jadi kami amat bersedia untuk menentang Portugal,” katanya.

Selepas mengalahkan Maghribi 1-0 dalam perlawanan pembukaan, Iran kini menduduki tangga ketiga Kumpulan B dengan mengutip tiga mata, satu mata di belakang Sepanyol dan Portugal.

Kata Ansarifard lagi, strategi serangan balas mungkin menjadi pilihan pasukannya dalam perlawanan di Mordovia Arena, dan mereka yakin Portugal mampu diatasi jika mereka beraksi sebagai satu unit, bukan individu.

Sementara itu, Ronaldo yang berkongsi senarai penjaring terbanyak kejohanan bersama Romelu Lukaku dengan empat gol sekali lagi bakal menjadi sandaran Portugal untuk merobek gawang lawan.

Kemunculannya, yang meledak hatrik ketika seri 3-3 dengan Sepanyol sudah cukup untuk membuatkan pemain lawan ‘kecut perut’. – AGENSI