Apa yang menyedihkan, tindakan Stones berpisah dengan kekasih hatinya sejak di bangku sekolah menyebabkan keluarga teman wanitanya hilang pekerjaan.

Bintang Manchester City itu mengambil keputusan meninggalkan Millie dan anak perempuan mereka berusia 18 bulan sebelum sambutan Krismas lalu.

Keputusan itu menyaksikan keluarga Millie tidak lagi bekerja dengan pemain tersebut.

Ibu dan bapa Millie iaitu Mandy dan Philip bekerja di kediaman Stones manakala adiknya, Mitchell adalah pemandu peribadi pemain itu.

Kesemua mereka hilang pekerjaan selepas pasangan tersebut menamatkan hubungan percintaan selama sembilan tahun.

Stones, 24, dikatakan membayar 4,000 pound (RM20,889) kepada ibu bapa Millie untuk menjaga kediamannya yang bernilai 3.4 juta pound (RM17.75 juta.

Mitchell mendedahkan mereka sekeluarga tidak lagi bekerja dengan pemain bola sepak itu dan enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Mereka sangat kecewa kerana ditinggalkan dalam keadaan sebegitu.

“Kedua-duanya bekerja untuk John tetapi dia memberitahu, mereka tidak lagi diperlukan selepas dia meninggalkan Millie. Perkara ini menghancurkan hati mereka.

“Millie pula berada dalam keadaan tertekan kerana John meninggalkannya tanpa sebarang penjelasan khusus. Sekarang semua sudah berakhir,” kata sumber rapat.

Millie dan anak perempuannya bagaimanapun terus tinggal di rumah agam yang dibeli di atas tanah seluas dua ekar di Knutsford, Cheshire.

Rumah agam itu mempunyai pawagam mini, pusat permainan dengan meja pool selain alat pemanas di bawah lantai, gimnasium, garaj, enam bilik dan lima bilik mandi berserta sauna.

Perpisahan terjadi selepas pemain berusia 24 tahun itu ditangkap menjalinkan hubungan sulit bersama wanita lain selama dua bulan.

Stones juga dilaporkan sudah memulakan rawatan untuk membuang tatu wajah Millie di bahagian lengannya selepas membuat cacah tersebut pada 2017 demi membuktikan kesetiaannya terhadap wanita itu.