Menurut Ribeiro, perjanjian akan diselesaikan minggu ini, sekali gus menamatkan segala spekulasi yang membelenggu penyerang Brazil tersebut.

“PSG akan membayar klausa pelepasan dan Neymar bakal diper­kenalkan di Paris minggu ini,” kata Ribeiro kepada pemberita di Lapa­ngan Terbang Barcelona El Prat .

Terdahulu, media me­laporkan pegawai dan pemain senior di Barcelona amat terganggu de­ngan pendirian pasukan Neymar sehingga menganggap pemergian penyerang itu tidak akan menjejaskan kelab.

Sumber rapat pe­ngurusan ter­tinggi Barcelona membe­ritahu akhbar Bri­tain, The Indepen­dent bahawa sejak beberapa hari lalu mereka semakin bosan de­ngan ketamakan orang-orang di sekeliling pemain berusia 25 tahun itu sehingga ada yang mempersoalkan “apa masalah dia dengan Barca?”.

Walaupun rakan senegara Neymar, Dani Alves pernah mengadu tidak diberi layanan adil oleh ahli lembaga Barcelona sepanjang ber­aksi di Camp Nou, namun situasi tersebut tidak dihadapi Neymar dan ramai yang menganggap wang adalah sebab utama dia mahu berhijrah ke PSG.

Menurut sumber itu lagi, keadaan di Camp Nou juga sudah sampai ke tahap yang mana beberapa pemain senior sangat marah dan tidak kisah jika Neymar meninggalkan mereka.

Barcelona juga sudah memikirkan alternatif bagi menggantikan Neymar.

Pada ketika usaha mendapatkan perancang utama Liverpool, Philippe Coutinho menemui jalan buntu, mereka melihat penyerang Juventus, Paulo Dybala dan bintang muda Borussia Dortmund, Ousmane Dembele sebagai calon pengganti.

Dybala, 23, mempunyai hubu­ngan rapat dengan Lionel Messi ke­rana ber­aksi buat skuad kebangsaan Argentina, namun harganya agak tinggi.

Justeru, Dembele, 20, kini menjadi sasaran utama dan dianggap lebih mudah untuk diperoleh.

Penyerang Perancis itu boleh dibeli pada harga lebih murah iaitu sekitar 70 juta pound (RM396.22 juta). – AGENSI