Sebelum ini, Pengarah Teknikal Barca, Robert Fernandez menegaskan bahawa gergasi La Liga itu tidak menerima tawaran untuk pemainnya dan tiada siapa yang berada di pasaran untuk memenuhi klausa pelepasan yang dimasukkan ke dalam kontrak baharu Neymar yang ditandatangani Oktober lalu.

Bagaimanapun, laporan bahawa PSG bersedia membuat perpindahan sensasi tetap berte­rusan dengan akhbar harian Catalan, Sports mendakwa penasihat Neymar percaya sudah tiba masanya untuk pemain berusia 25 tahun itu keluar daripada ba­yangan Lionel Messi di Camp Nou.

Neymar bakal menyertai rakan senegaranya Dani Alves, Thiago Silva dan Lucas Moura sekiranya memutuskan untuk menyertai kelab gergasi bola sepak Perancis itu.

Bercakap dalam sidang akhbar mengenai kewangan Barcelona yang mencatat pendapatan sebanyak 708 juta euro (RM3.4 bi­lion) dalam tempoh 12 bulan terakhir, Vives menegaskan Neymar tetap komited untuk bekerja di bawah jurulatih baharu Ernesto Valverde.

“Satu-satunya perkara yang kami ambil perhatian ialah dia tetap gembira di sini. Dia beraksi dalam musim yang hebat dan masih antara yang terbaik di dunia.

“Dia gembira di kelab ini dan kelab gembira dengan sikap yang ditunjukkannya. Kami tidak risau mengenai hal itu dan kami hanya berharap musim depan lebih baik daripada yang terakhir.

“Pemergian Neymar bukan dalam imaginasi kelab. Kelab hanya berfikir untuk menjaga pemain terbaik seperti dia, salah satu simbol utama kami,” tegas Vives. – AGENSI