Angel Di Maria dan Giavani Lo Celso masing-masing menjaringkan dua gol untuk membantu PSG mengesahkan gelaran Ligue 1 buat kali ketujuh de­ngan menewaskan juara musim lalu, Monaco 7-1.

Skuad bimbingan Emery memberi tekanan kepada Monaco apabila menjaringkan empat gol dalam tempoh 14 minit babak pertama di Parc des Princes.

“Pasukan lain pernah me­rangkul lebih banyak gelaran berbanding kami. Monaco, Nantes, Saint-Etienne, Marseille, Lyon...Kami harus bekerja lebih keras untuk membina kecemerlangan.

“Bagi mengekalkan status nombor satu di Perancis dan menjadi pasukan hebat anda perlu banyak bersabar serta bekerja lebih keras,” kata Emery.

Selain muncul juara liga, PSG kini turut berada di landasan untuk memburu gelaran Piala Pe­rancis selepas berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.

Bagaimanapun cabaran mereka dalam sai­ngan Liga Juara-Juara musim ini berakhir pada pus­­­ingan kedua selepas disingkirkan Real Madrid.

“Kekalahan kepada Real Madrid amat menyakitkan, namun kami perlu bekerja keras.

“Kami mencatat banyak keputusan positif musim ini, termasuk merangkul kejuaraan Ligue 1 buat kali ketujuh.

“Sekarang, sudah tentu impian kami harus lebih besar. Semua orang tahu, kejuaraan Eropah adalah keutamaan selepas ini.

“Hari ini kami bangga berjaya muncul juara Perancis dan kemudian kami akan cuba merangkul kejuaraan Piala Perancis. Selepas itu, fokus pastinya menguasai pentas Eropah,” katanya lagi.

Kapten PSG, Thiago Silva pula berkata, dia bangga dapat membantu pasukan berkongsi detik indah bersama peminat.

“Kami adalah pasukan dengan potensi besar. Selepas tersingkir dari­pada Liga Juara-Juara, kami tidak sesekali berputus asa,” ujarnya. – AFP