Pertembungan derby dua kelab London utara itu disulami dengan aksi tegang ketika babak pertama di Stadium Emirates, selepas pemain Tottenham, Eric Dier meraikan jaringan penya­maannya dengan cara provo­kasi.

Sebelum itu, penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang meledakkan gol pendahuluan menerusi sepakan penalti seawal minit ke-10 telahpun membangkitkan kemarahan selepas sengaja me­raikan jaringannya di depan penyokong Tottenham.

Ekoran tindak-tanduknya itu, peminat telah bertindak membaling kulit pisang ke arah Aubameyang sewaktu dia berlebih-lebihan meraikan jaringan tersebut.

Insiden yang berlaku mendorong siasatan dibuat dan Polis Metropolitan mengesahkan kepada Omnisport, tujuh penyokong telah ditahan termasuk seorang yang ditangkap kerana melontar peluru ke arah padang.

Tindakan Dier selepas itu, hanya menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk apabila pemain berkenaan meletakkan jari ke mulutnya sebagai isyarat meminta penyokong Arsenal diam setelah menjaringkan gol.

Pemain gantian Arsenal, Stephan Lichtsteiner dan Aaron Ramsey ternyata marah terhadap tingkah laku Dier, sehingga berlaku insiden tolak menolak melibatkan beberapa pemain. Pochettino kemudian berlari ke tepi padang dan pertelingkahan terus berlaku, tetapi warga Argentina itu menegaskan, dia cuba menenangkan para pemainnya agar tidak hilang fokus.

“Pada ketika itu, saya cuba menenangkan pemain kami. Berlaku pergaduhan, tetapi saya tidak tahu apa puncanya. Kadang kala situasi sebegini berlaku. Saya tidak tahu jika cara Dier meraikan golnya mencetuskan kemarahan segelintir peminat,” kata Pochettino.

Pengurus Arsenal, Unai Emery yang merupakan sahabat baik Pochettino bersetuju dengan rakan sejawatnya adalah lebih baik jika kedua-dua pasukan terus bersikap tenang.

“Pada ketika itu, para pemain begitu beremosi. Mereka kerap bertelingkah, tetapi kami juga perlu bersikap tenang,” kata Emery. – AFP