Bagaimanapun, pada 14 Mei 1932, Itali dipilih menggalas tanggungjawab tersebut, sementara Sweden menarik diri sebelum undian dilakukan.

Ini kali pertama negara yang menjadi tuan rumah Piala Dunia tidak menyertai pertandingan sebelum itu. Itali tidak menghantar pasukan bagi menyertai Piala Dunia 1930.

Piala Dunia 1934 banyak mencetuskan kontroversi. Pada tahun berkenaan, Itali ditadbir di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Benito Mussolini yang disifatkan sebagai seorang diktator.

Mussolini telah menggunakan Piala Dunia 1934 bagi mempromosi propaganda fasis dan mengawal kebebasan media. Usahanya dapat dilihat dengan jelas pada poster Piala Dunia yang menggunakan simbol fasis.

Kontroversi lain yang turut tercetus ialah pengadil membuat keputusan pelik dan berpihak kepada tuan rumah.

Khabar angin tersebar bahawa Mussolini dikatakan terlibat dengan pemilihan pengadil untuk perlawanan melibatkan skuad Itali.

Pada kejohanan itu juga, Itali menjadi tuan rumah pertama yang perlu beraksi dalam kelayakan bagi menyertai Piala Dunia. Ia kali pertama dan terakhir tuan rumah tidak melayakkan diri secara automatik.

Sebanyak 32 negara berminat menyertai pertandingan itu tetapi hanya 16 yang mengesahkan penyertaan - Itali, Romania, Belgium, Jerman, Sepanyol, Perancis, Belanda, Hungary, Czechoslovakia, Sweden, Austria, Switzerland, Brazil, Argentina, Amerika Syarikat dan Mesir.

Pada 10 Jun, perlawanan akhir berlangsung di Stadium Nazionale PNF di Rom di depan kira-kira 45,000 penonton yang menyaksikan tiada gol terhasil sehingga pada 15 minit terakhir permainan.

Pemain Czechoslovakia, Antonin Puc terlebih dulu meletakkan pasukannya di depan, namun kurang 10 minit sebelum tamat perlawanan Itali menyamakan kedudukan menerusi Raimundo Orsi.

Dalam masa tambahan (kali pertama permainan masa tambahan diadakan), Itali hanya memerlukan lima minit untuk meledak gol kemenangan menerusi Angelo Schiavio.