Presiden Argentina, Mauricio Macri dan legenda bola sepak negara itu Diego Maradona antara yang menolak hasrat Pemain Terbaik Dunia tersebut untuk bersara, walaupun kegagalan Messi menyempurnakan sepakan penalti dalam final di New Jersey menyebabkan mereka kalah 2-4 kepada Chile menerusi penalti penentuan.

Malah, ratusan peminat yang menanti kepulangan pemain berusia 29 tahun itu di kem latihan skuad mereka di Ezeiza, Buenos Aires tidak berganjak meskipun hujan lebat.

Kebanyakan peminat memakai jersi kebangsaan Argentina yang tertera No. 10, sambil memegang sepanduk “Messi jangan pergi”, selain “Messi: Saya sayangkan awak lebih daripada saya sayangkan ibu saya.”

“Dia perlu kekal kerana dia harus bermain lagi untuk pasukan kebangsaan. Dia akan ke Rusia (Piala Dunia 2018) dengan pres­tasi terbaik untuk membantu kami menjadi juara,” kata Maradona.

Walaupun memiliki deretan kejuaraan bersama Barcelona, Messi masih gagal menghadiahkan sebarang trofi kepada Argentina selepas empat kali beraksi dalam perlawanan akhir kejohanan utama - Piala Dunia serta Copa America.

Dalam pada itu, Macri turut menghubungi bintang Barcelona itu dan memintanya agar kekal bersama skuad kebangsaan.

“Beliau (Macri) menghubungi Messi secara peribadi dan memberitahu beliau bangga dengan persembahan pasukan kebangsaan dan meminta pemain itu tidak mendengar kritikan yang dilemparkan,” kata jurucakap kepada Macri.

“Karier saya bersama skuad kebangsaan sudah berakhir. Saya telah beraksi dalam empat perlawanan akhir, tiada sebarang makna lagi. Saya sudah mencuba.

“Menjadi juara (bersama skuad kebangsaan) adalah perkara yang paling saya mahukan, tetapi saya tetap gagal mendapatkannya. Jadi, saya rasa (karier bersama Argentina) sudah ber­akhir,” ujar Messi kepada rangkaian televisyen Argentina, TyC Sports selepas perlawanan de­ngan Chile.

Untuk tahun ketiga berturut-turut, Argentina terkandas dalam final kejohanan besar selepas kalah dalam Piala Dunia 2014 dan Copa America 2015.

Bagi Messi, ini adalah kekalahan keempatnya dalam final kejohanan besar selepas turut tewas kepada Brazil dalam Copa Ame­rica 2007. Argentina masih kemarau trofi utama selama 23 tahun.

“Sepakan penalti saya gagal. Itu sangat penting. Cukuplah,” ujar pemain itu lagi. – AGENSI