Pertemuan tidak dirancang itu berlaku di pekarangan Bangunan Perak Darul Rizduan di sini ketika sekumpulan penyokong berkenaan sedang berkumpul untuk menyerahkan memorandum bantahan dan mendesak Hasnul Zulkarnain meletak jawatan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hasnul Zulkarnain yang sedang dalam perjalanan untuk ke pejabatnya, turun daripada keretanya lalu berjumpa dengan kumpulan penyokong berkenaan.

Dalam pertemuan itu Hasnul Zulkarnain berkata, para penyokong berhak menyatakan bantahan tetapi beliau bertegas tidak akan meletakan jawatan.

Menurutnya, beliau telah meminta maaf secara terbuka dan tidak melakukan kesalahan jenayah atau pecah amanah dalam tugasnya.

"Kalian boleh teruskan (bantahan dan serah memorandum kepada MB), tiada masalah. Saya terbuka, mana-mana pihak boleh suarakan tapi untuk mendesak saya meletak jawatan, saya sesekali tidak akan meletakan jawatan kerana ada misi besar yang saya cuba laksanakan, saya ikhlas," katanya kepada para penyokong.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Hasnul Zulkarnain berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar mengenai isu tersebut dan percaya ia akan

selesai dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada Menteri Besar telah memberi 'restu' supaya beliau terus menerajui Pafa, Hasnul berkata, setakat ini dalam kenyataan di media, Menteri Besar memberi pilihan sama ada beliau kekal atau membuat tindakan sebaliknya.

"Saya tiada masalah untuk meneruskan jawatan ini kerana saya tiada kepentingan apa-apa, saya meletakan kepentingan Pafa sebagai keutamaan," katanya. - UTUSAN ONLINE