Beliau berkata, keputusan untuk bertanding jawatan tersebut atau tidak akan dimaklumkan apabila sampai masanya.

“Tarikh akhir 14 Jun ini, jadi kita tunggu 14 Jun ini. Tak perlu lorat (tergesa-gesa),” katanya ringkas apabila ditanya khabar angin beliau mungkin mengundur diri daripada bertanding merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara berkenaan.

Beliau ditemui ketika majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim, pelajar tahfiz dan bekas Penggerak Masyarakat Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini hari ini.

FAM sebelum ini mengesahkan hanya tiga nama dicalonkan bagi mengisi jawatan presiden baharunya.

Tiga nama tersebut ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Annuar sendiri.

Hamidin yang mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan dikejutkan dengan pencalonan saat akhir Annuar oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Abdul Azim daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Jawatan Presiden FAM kosong selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Mesyuarat Khas Pertama bagi penggal 2017-2021 pada 2 April lalu menerima peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM.

Tarikh akhir untuk mengesahkan penerimaan pencalonan selewat-lewatnya 14 Jun ini, sebulan sebelum Kongres FAM Ke-54 diadakan pada 14 Julai depan. - UTUSAN ONLINE