Ronaldo melakukan hantaran cantik kepada Ricardo Quaresma untuk Portugal mendapat gol awal namun kelebihan tersebut dipadamkan oleh Mexico sebelum tamat separuh masa pertama menerusi tandukan penyerang Javier Hernandez.

Portugal mendekati kemenangan apabila mendapat gol kedua pada minit ke-86 menerusi Cedric Soares tetapi impian mereka dihancurkan apabila Hector Moreno menanduk gol penyamaan Mexico pada masa kecederaan untuk berkongsi satu mata.

“Kami mungkin dapat membunuh perlawanan namun itu tidak berlaku dan kami akur dengan keputusan seri tersebut.

“Saya sedar ramai yang amat kecewa dengan Portugal dan pemain juga memikirkan perkara sama selepas meraih keputusan ini,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos selepas perlawanan dalam Kumpulan A itu.

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio berkata, pasukannya berhak mendapatkan keputusan itu tetapi mengakui pasukannya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan keputusan lebih baik daripada perlawanan selepas ini.

“Jaringan Hector Moreno menjadi penyelamat Mexico.

“Kami perlu terus bekerja keras memperbaiki penyudah pasukan. Selepas ini kami akan berdepan satu lagi perlawanan sukar iaitu menentang New Zealand,” kata Osorio.

Perlawanan tersebut menjadi tumpuan berikutan kontroversi yang melanda Ronaldo, 32, setelah dia didakwa tidak membayar cukai serta berhajat mahu meninggalkan Sepanyol kerana tidak sanggup berdepan isu berkenaan.

Menurut akhbar Sepanyol, Marca pada Ahad lalu, jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane terpaksa menghubungi Ronaldo untuk memujuk bintang tersebut agar tidak meninggalkan kelab itu. – AFP