Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, berkata, siasatan perlu dilakukan agar Ahmad Amizal Shaifit boleh diambil tindakan kerana telah menipu kontrak melibatkan seramai 18 orang pemain Perlis Northern Lions II musim ini dalam satu majlis tahun lepas.

Katanya, dalam hal itu, pemain diminta menandatangani kontrak sedangkan Ahmad Amizal Shaifit pula didapati tidak berbuat demikian dan perkara tersebut hanya diketahui mereka selepas segala-galanya terbongkar baru-baru ini.

Ezzrul Ikmanizar turut mempersoalkan hasil daripada jualan tiket dalam dua perlawanan persahabatan melibatkan PFA baru-baru ini, yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Kami merasakan ditipu semasa majlis menandatangani kontrak berkenaan. Dalam kontrak itu, kami dijanjikan gaji tetapi akhirnya para pemain ditipu (tidak dibayar).

“Saya harap setelah segala-galanya terbongkar dan Perlis sudah digugurkan daripada Liga Malaysia (semalam), pihak berkuasa mesti menyiasat Ahmad Amizal Shaifit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirim melalui Whatsapp kepada wartawan semalam.

Ezzrul Ikmanizar tidak menolak kemungkinan akan bersama rakan-rakan untuk membuat laporan polis sekiranya keadaan memerlukan.

Dalam pada itu, menurutnya, dia dan rakan-rakan sudah menjangkakan nasib Singa Utara akan berakhir dalam Liga Malaysia 2019, setelah sekian lama curiga dengan kemampuan sumber kewangan PFA.

Katanya, ini selepas dia dan 17 orang rakan pasukan tidak dibayar tujuh bulan tunggakan gaji untuk musim lepas.

Ezzrul Ikmanizar adalah antara 11 orang pemain Northern Lions II yang mendedahkan nasib mereka yang terpaksa membuat kerja sambilan setelah tidak dibayar gaji tujuh bulan, pada musim lepas.

Semalam, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan PFA pada 18 Februari lalu.