Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, suspek yang kesemuanya lelaki diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk membantu siasatan.

Daripada 20 suspek yang telah dikenal pasti, polis mengedarkan 12 gambar mereka kepada pihak media semalam.

Roslan berkata, 20 individu berkenaan tidak termasuk lima lelaki yang ditahan pada Sabtu lalu dan telah dibawa ke Mahkamah Kuching untuk didakwa semalam.

"Tiada tempoh masa ditetapkan untuk mereka menyerah diri tetapi sekiranya enggan memberi kerjasama, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengesan mereka hingga ke pintu rumah masing-masing.

"Pada malam kejadian, pihak polis telah menggunakan pendekatan minimum dan berlembut untuk memujuk semua penyokong supaya keluar dari stadium bagi mengelakkan berlaku kejadian yang lebih teruk.

"Namun, kami tidak menyangka mereka berhimpun di luar stadium pula, seterusnya bertindak dengan lebih ganas seperti membaling suar, mengeluarkan perkataan serta ayat-ayat provokasi, menolak pintu pagar utama stadium selain memanjat dan melompat di atas kenderaan polis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Kuching Siri 5/2014 di Padang Kawad IPD Kuching semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Fauzilan Abdul Aziz; Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Kuching, Deputi Supritendan Amihizam Abdul Shukor dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching, Deputi Supritendan Lim Bak Phai.

Roslan Bek turut menyifatkan kelakuan individu yang terlibat dalam rusuhan itu sebagai tidak bertanggungjawab seperti dirasuk.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap lima lelaki pertama yang ditahan bagaimanapun menunjukkan mereka negatif mengambil dadah.

"Saya menyedari lebih ramai lagi terlibat dalam rusuhan ini dan jika diikutkan kesemua mereka bersalah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 151 Kanun Keseksaan yang menyatakan menjadi kesalahan untuk terus berada di kawasan rusuhan selepas arahan bersurai dikeluarkan," katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada malam ambang merdeka itu, katanya, kira-kira 300 anggota penguat kuasa keamanan termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bertugas iaitu dua kali ganda daripada jumlah biasa.

Katanya, usaha untuk meleraikan penyokong supaya beredar dan bersurai diteruskan apabila pihak penguat kuasa mengeluarkan tiga kali amaran supaya bersurai iaitu kali pertama daripada Amihizam, manakala amaran kedua daripada Fauzilan sebelum gas pemedih mata dilepaskan.

"Seterusnya Pasukan Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) mengeluarkan amaran ketiga selepas mendapati mereka masih bertindak ganas sehingga membakar kenderaan polis di luar stadium," katanya.