Pogba memuat naik beberapa siri video di media sosial pada awal pagi ini yang memaparkan dia sedang berjoging dan berjalan di gimnasium.

Pengurus United, Jose Mourinho ketika ini menolak meletakkan tempoh masa buat Pogba untuk pulih sepenuhnya dan mengakui bahawa pemain tengah itu akan mengambil masa lama sebelum kembali cergas semula.

“Kami tidak boleh tangisi kecederaan yang dialami oleh Pogba ini dan kami juga harus meletakkan kepercayaan kepada pemain lain bagi membantu pasukan,” kata Mourinho.

Pogba ketika ini sudah terlepas lima perlawanan bersama United selepas mengalami kecederaan ketika membantu kelab itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Basel dalam aksi Liga Juara-Juara pada 12 September lalu.

Pemain itu juga bakal terlepas aksi United menentang Liverpool di Anfiled dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini. - AGENSI