Dikritik jurulatih Didier Deschamps ekoran prestasi hambar sewaktu Perancis menewaskan Bulgaria 4-1 di Paris, Jumaat lalu, Pogba membalas kritikan menerusi aksi menarik di Amsterdam dalam perlawanan paling mencuri tumpuan.

Pemain tengah Manchester United itu menyempurnakan rembatan bertenaga dari jarak 25 meter pada minit ke-30 dan memaksa penjaga gol Belanda, Maarten Stekelenburg merebahkan badan untuk menahan bola , namun gagal berbuat demikian.

“Saya belum dapat bercakap dengannya (Pogba), cuma ada berbual ringkas sebelum masuk bilik persalinan, saya kata kepadanya, ‘Saya yakin dengan kamu’.

“Perlawanan itu mengesahkan apa yang mampu dia berikan. Pogba hampir berjaya memperbaiki prestasinya daripada setiap segi. Dia membuktikan apa yang dia boleh lakukan.

“Kami tidak pernah meragui keupayaannya. Jangan lupa Paul masih muda dan dia boleh berkembang lagi,” kata Deschamps.

Perancis yang tewas dalam perlawanan akhir Euro 2016 di laman sendiri, kini mengungguli Kumpulan A selepas berkongsi tujuh mata bersama Sweden yang mengalahkan Bulgaria 3-0 di Solna.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sesama sendiri pada 11 November ini di Stade de France, Paris.

Pogba, 23, hampir menggandakan jaringan menerusi tandukan hasil sepakan sudut yang disempurnakan Dimitri Payet pada minit ke-66, bagaimanapun percubaannya agak lemah.

Sementara itu, jurulatih Portugal, Fernando Santos percaya, pasukannya mesti memenangi baki semua perlawanan kelayakan untuk mendapat tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia secara automatik.

Skuad bimbingan Santos mempamer aksi meyakinkan hari ini, berterima kasih kepada hatrik Andre Silva, selain jari­ngan ketua pasukan, Cristiano Ronaldo, Joao Moutinho dan Joao Cancelo.

Kemenangan itu meletakkan Portugal di tangga kedua Kumpulan B, tiga mata di belakang Switzerland yang menewaskan Andorra 2-1.

“Kemenangan ke atas Kepulauan Faroe tidak memberikan kami lebih daripada tiga mata, jadi itu bermakna kami kena menang perlawanan seterusnya untuk terus mengutip mata.

“Semuanya kini terpulang kepada diri kami sendiri. Ada tujuh lagi perlawanan perlu diharungi, kami kena memena­nginya,” kata Santos.

Hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir di Rusia tahun depan secara automatik.

Lapan daripada sembilan pasukan yang muncul naib juara kumpulan akan berentap dalam saingan playoff.

Portugal, yang memahat sejarah muncul juara Eropah buat kali pertama, Julai lalu kini akan berdepan Latvia dalam perlawanan terdekat pada 13 November.

Enam perlawanan menentang mereka pada 2017 adalah bertemu Hungary (25 Mac, 3 September), Latvia (9 Jun), Kepulauan Faroe (31 Ogos), Andorra (7 Oktober) dan Switzerland pada 10 Oktober. – AGENSI