Dalam aksi Liga Juara-Juara yang menyaksikan Red Devils meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Basel awal pagi tadi, pemain Perancis itu terpaksa meninggalkan padang pada awal babak pertama akibat kecederaan.

Bagaimanapun, Mourinho masih belum mendapatkan kepastian mengenai tahap kecederaan yang dialami oleh pemain berusia 24 tahun itu namun dia menjelaskan kemungkinan besar Pogba akan terlepas perlawanan untuk beberapa minggu ini.

“Saya mengetahuinya (kecederaan) berdasarkan pengalaman, ia adalah kecederaan otot yang sering dialami mana-mana pemain.

“Kecederaan sebegini, ia memerlukan masa selama beberapa minggu sebelum kembali pulih untuk beraksi,” katanya.

Dalam aksi itu menyaksikan United membuka tirai jaringan menerusi pemain gantian, Marouane Fellaini pada minit ke-35, disusuli gol kedua Romelu Lukaku pada minit ke-53 sebelum Marcus Rashford melengkapkan kemenangan bergaya Red Devils hasil gol lewat permainan (minit ke-84).

Aksi pagi tadi adalah yang pertama buat Red Devil dalam saingan Liga Juara-Juara sejak Disember 2015 apabila skuad Jose Mourinho kembali ke pertandingan utama Eropah ini selepas menjuarai saingan Liga Europa, musim lalu.

Terdahulu, Basel yang dikendalikan Raphael Wicky tidak berdepan banyak tekanan sehinggalah Pogba terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan pangkal paha.

Pogba yang memakai lilitan kapten hanya sempat beraksi selama 18 minit sebelum dikeluarkan.

Dia telah memulakan musim ini dengan cemerlang apabila meledak dua gol sepanjang empat perlawanan Liga Perdana Inggeris dan kini dia dilihat bakal terlepas aksi berdepan Everton, hujung minggu ini. - AGENSI