“Saya tidak suka penggunaan VAR. Hari ini kami mendapat faedah daripadanya, tetapi ketika menonton Piala Dunia dan La Liga, saya lihat tiada sesiapa gembira sejak VAR mula digunakan.

“Memang ketika waktu kita mendapat faedah daripadanya ia menyeronokkan, tetapi saya tidak gembira jika menang dengan cara ini,” kata Pochettino merujuk pemberian sepakan penalti kepada Tottenham yang ditentukan menerusi VAR.

Dalam perlawanan itu, Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil selepas VAR mengesahkan penyerang Tottenham itu tidak ofsaid sebelum dijatuhkan dalam kotak penalti pada babak pertama.

VAR mengambil masa 90 saat membuktikan dakwaan Kane telah ofsaid terlebih dahulu adalah silap, sehingga menyebabkan pengadil, Michael Oliver tidak teragak-agak menghadiahkan penalti.

“Saya bukan anti teknologi tetapi ia perlu digunakan dengan cara berbeza. Mengapa mengambil masa terlalu lama dan peraturan penggunaannya juga tidak cukup jelas,” tambahnya.

Rakan sejawatnya di Chelsea, Maurizio Sarri pula sambil mempertahankan bahawa Kane ofsaid dalam waktu sama melahirkan rasa pelik kerana VAR digunakan dalam Piala Liga, tetapi tidak dalam kancah Liga Perdana Inggeris. – AFP