Dalam perlawanan di Stadium Perbandaran Manjung di sini, pasukan pelawat mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan awal Diogo Luis Santo pada minit keempat.

Jaringan itu diraih menerusi gerakan solo Luis Santo yang membawa bola sehingga ke kotak penalti sebelum merembat deras yang menewaskan penjaga gol PKNP, Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah.

Namun, pasukan PKNP bangkit dengan jaringan penyamaan pada minit ke-14 menerusi gol pemain import, Ramon Da Silva Costa.

Pemain itu mudah menolak masuk bola ke dalam gawang JDT selepas mendapat hantaran tandukan rakan sepasukan, Giancarlo Lopes Rodrigues.

JDT berpeluang menambah gol apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-56 namun Gonzalo Cabrera menyepak tinggi melepasi palang gol PKNP.

Malang buat JDT apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain setelah pemain tengahnya, Mohd. Afiq Fazail dilayangkan kad merah pada minit ke-76 selepas mengkasari pemain PKNP. - UTUSAN ONLINE