Anak-anak buah Ernesto Valverde berada dalam bahaya selepas hampir ditimpa kekalahan pertama liga, musim ini, apabila Gerard Moreno meletakkan tuan rumah di depan sewaktu pertengahan aksi babak kedua, tetapi bek tengah, Pique berjaya menanduk masuk gol hasil sepakan sudut Lionel Messi pada minit ke-82 untuk berkongsi satu mata.

Barcelona kini berkelebihan sembilan mata di puncak liga berbanding pasukan ditanggu kedua, Atletico Madrid yang menewaskan Valencia 1-0 di Wanda Metropolitano.

Pertembungan derby antara Catalan dan Espanyol berlangsung dalam hujan dan Valverde mengkritik terhadap keadaan padang yang berbahaya.

“Walaupun hujan turun, kami ingat padang berada dalam keadaan baik, tetapi apabila kami melihat rumput padang mudah tercabut, ia telah mengundang bahaya. Hantaran kami daripada benteng pertahanan kerap tersekat dalam lopak air dan sebab itu, perlawanan ini agak sukar.

“Kami bersyukur meraih keputusan seri, kerana sukar untuk berdepan senario seperti ini dan disebabkan aksi derby, kami tidak rela ditimpa kekalahan,” kata pengurus Barcelona itu.

Sementara itu, Atletico memanfaatkan sepenuhnya keputusan seri yang dicatat Barcelona bagi menghidupkan harapan tipis pemburuan gelaran, setelah Angel Correa mencipta detik magis bagi membantu pasukannya meraih kemenangan.

Kedua-dua pasukan berjaya mencipta banyak peluang gol dalam aksi kurang kemas separuh masa pertama, dengan Saul Niguez menyaksikan percubaan jarak jauhnya berjaya ditolak keluar penjaga gol Valencia, Neto, manakala, rembatan Simone Zaza pula tersasar jauh dari pintu gol pasukan pelawat.

Bagaimanapun, Correa mengejutkan Neto hasil rembatan cantik jarak jauh pada minit ke-59, setelah bola tersebut menerjah ke bahagian atas pintu gol Valencia dari jarak 22 meter. Jaringan pemain Argentina berusia 22 tahun itu merupakan gol keenamnya dalam aksi liga, musim ini.
 Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, Girona melonjak ke kedudukan pertengahan dalam carta liga selepas pemain antarabangsa Uruguay, Cristhian Stuani meledakkan dua gol bagi membolehkan pasukannya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao, manakala Getafe dan Leganes diikat dengan keputusan seri tanpa jaringan. - AFP