Hairuddin Omar

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar berkata hala tuju bola sepak negara kini bergantung kepada pengundian yang dibuat dalam Kongres FAM ke-53 Sabtu ini.

Menurutnya, pengundian bagi memilih Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 itu tidak boleh bersikap berat sebelah, sebaliknya mereka adalah suara yang mewakili penyokong sukan itu yang mahukan per­ubahan secara menyeluruh.

“Minggu ini adalah penting untuk bola sepak negara dalam menentukan siapa barisan kepemimpinan baharu FAM. Saya menyeru kepada semua perwakilan supaya memilih secara matang dan tidak terbawa-bawa dengan kepentingan peribadi.

“Saya harap semua perwakilan dapat mengenal pasti calon terbaik untuk mengetuai FAM dan saya yakin perwakilan kali ini lebih memahami kehendak bola sepak negara,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Hairuddin berkata selaku bekas pemain, beliau tidak mahu isu tunggakan gaji pemain berulang dan mahu barisan kepemimpinan baharu FAM memandang serius pembangunan bola sepak negara dan prestasi skuad Harimau Malaysia.

Katanya kepemimpinan baharu itu nanti akan berdepan cabaran yang lebih hebat bagi menaikkan semula imej bola sepak negara kerana penyokong sudah muak dengan isu yang sama.

“Kalau kita mahu majukan bola sepak dengan lebih serius, arena bola sepak harus berubah secara keseluruhan, terutamanya dari segi liga dan pembangunan pemain muda.

“Semua penyokong bola sepak mahu perubahan, saya harap kita dapat melihat transformasi besar berlaku dalam bola sepak Malaysia selepas ini,” katanya.

Mengulas calon Presiden FAM yang lebih layak menerajui badan induk itu, Hairuddin berkata ke­dua-dua calon iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa mempunyai visi dan misi yang menarik. – BERNAMA