Penjaga gol Everton itu mempamer aksi cemerlang ketika mempertahankan kubu England sewaktu saingan separuh akhir sebelum gagal menepis jaringan kemenangan Croatia menerusi Mario Mandzukic sewaktu masa tambahan.

Kini misi utama Pickford adalah untuk meraih gelaran penjaga gol terbaik terutama selepas England gagal menempah slot ke saingan akhir di Rusia.

“Saya berharap dapat diturunkan ketika aksi menentang Belgium kerana saya mahu memberikan persembahan terbaik buat pasukan untuk bergelar penjaga gol terbaik kejohanan.

“Saya percaya aksi menentang Belgium akan menjadi satu ujian sukar buat saya dan pasukan dalam perlawanan tempat ketiga.

“Sudah tentu kami mahu menamatkan aksi dalam kejohanan di tahap yang tertinggi namun tidak berjaya dan kini kami harus memanfaatkan peluang untuk menjadi pasukan ketiga terbaik.

“Saya percaya pasukan akan cuba mempamerkan karakter sebenar malah kepercayaan kepada kami juga telah pulih,” kata Pickford.

Kecemerlangan yang dipamerkan oleh Pickford membolehkan dia diberikan kepercayaan oleh pengurus England, Gareth Southgate untuk beraksi dalam kempen Piala Dunia dan telah membuktikan keupayaannya ketika menyelamatkan percubaan tepat pemain Colombia, Mateus Uribe ketika aksi pusingan kedua.

Anugerah Sarung Tangan Emas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kali ini dinilai menerusi hasil kajian kumpulan teknikal FIFA. – AGENSI