Kata jurulatih kelahiran Australia itu, berjaya mengutip 10 mata untuk muncul naib juara di belakang Terengganu adalah keputusan baik, dan kini apa yang perlu dilakukan Bos Gaurus adalah mengukuhkan pasukan menghadapi PKNS FC pada suku akhir, minggu depan.

Menjelang pertemuan menentang juara Kumpulan B, PKNS FC di peringkat suku akhir minggu ini, beliau berkata pemainnya berada dalam keadaan baik dan momentum positif ditagih bagi mengekalkan matlamat mereka menjulang kejuaraan itu, sekali gus menamatkan kemarau 18 tahun tanpa trofi berprestij itu.

“Bukan sesuatu yang mudah jika kalah tetapi sejujurnya saya gembira dengan pencapaian pasukan. Saya berpuas hati dengan kemajuan mereka. Kini kita memberi tumpuan berdepan PKNS FC. Kita akan kembali ke Ipoh dan membuat persiapan bagi membentuk pasukan mantap menjelang perlawanan itu.

“PKNS sebuah pasukan sangat bagus, prestasi pemain mereka hebat. Mereka memiliki pemain tempatan sangat baik dan berpengalaman. Saya jangkakan perlawanan sengit, namun jika pemain beraksi dengan corak permainan ditampilkan sebelum ini, kita mampu memberi tentangan sengit kepada mereka,” katanya.

Saingan Piala Malaysia 2018 menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT); juara 2013 dan 2014 Pahang; Sabah; Kelantan; Felda United; PKNS FC, Terengganu dan Perak mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir. - UTUSAN ONLINE