Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata sesuatu yang mengujakan untuk bertemu PKNS FC sekali lagi selepas tumpas 3-4 pada separuh akhir edisi lepas sungguhpun beliau sedar pasukan bimbingan Datuk K.Rajagobal itu dahagakan kemenangan.

"PKNS mempunyai kelebihan, jurulatih hebat dan pemain berpengalaman. Pastinya bukan mudah dan sebagai persiapan, kami perlu buat persediaan rapi bagi pertandingan ini," katanya kepada pemberita selepas undian suku akhir Piala FA di sini, hari ini.

Sementara itu, kapten Perak, Muhd Shahrom Kalam mengakui PKNS FC adalah pasukan yang kuat dan untuk mengelak daripada dikecewakan sekali lagi, mereka harus bekerja keras semasa latihan dan memberikan persembahan terbaik ketika di padang.

"Bagi saya, kita tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan. Sebagai permulaan, kami akan beri tumpuan terhadap perlawanan menentang PKNS dahulu, kemudian barulah perlawanan yang seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin berkata aksi menentang Perak adalah satu pertemuan menarik memandangkan pasukan itu merupakan antara pasukan yang menunjukkan prestasi terbaik dalam saingan itu.

"Pertemuan kali ini berbeza di mana pasukan lawan mempunyai barisan pemain dan jurulatih yang berbeza berbanding musim lalu. Segala persiapan untuk perlawanan itu akan digiatkan sebaik mungkin untuk kami melakar sejarah yang diimpikan," katanya.

Perak antara pasukan yang mempunyai rekod baik dalam saingan Piala FA sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990 apabila berjaya melangkah ke final sebanyak lima kali dan merangkul dua gelaran juara.

Perlawanan pertama antara PKNS FC dan Perak dijadual berlangsung antara 6, 7 dan 8 April di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut sebelum aksi kedua berlangsung antara 20, 21 dan 22 April. - BERNAMA