Perlis yang disingkirkan daripada Liga Perdana, Piala FA, Piala Presiden dan Piala Belia, musim ini, kerana masalah tunggakan gaji pemain, akan menjadi venue bersama jiran utara Semenanjung, Kedah dalam PERR 2019.

“Kami juga memilih Perlis dan Kedah kerana mahu memberi peluang kepada negeri-negeri ahli gabungan lain sebagai tuan rumah baharu, selepas PERR tahun lalu berlangsung di Lembah Klang.

“Inilah kesempatan terbaik Perlis mengubati kerinduan para peminat bola sepaknya selepas tidak dapat menyaksikan aksi pasukan negeri dalam Liga Malaysia, musim ini,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd. Frdaus Mohamed ketika ditemui mesyuarat agung khas PBMM di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di sini.

Perlis tegasnya, diakui mempunyai himpunan peminat bola sepak yang besar dengan venue utamanya, Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pernah dihadiri hampir 20,000 orang ketika perlawanan akhir PERR pada 2015.

“Perlis hampir muncul menjulang PERR tiga kali berturut-turut jika tidak tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan ketika itu, namun, sambutan para peminatnya cukup hangat dan PBBM ingin mengembalikan nostalgia kemeriahan pertandingan itu.

“Malah angka kehadiran hampir sama pernah tercatat di stadium itu biarpun hanya pada perlawanan persahabatan Perlis sebelum Liga Malaysia musim ini,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengulas mengenai tarikh saingan PERR katanya, PBBM akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pertandingan untuk memutuskannya, namun, kemungkinan berlangsung pada awal September dengan perlawanan pembuka tirai Piala Agong dijangka akhir Ogos.

Pahang yang muncul juara berganda, akan kembali menghadapi Terengganu yang ditewaskannya 1-0 di Temerloh dalam perlawanan akhir PERR, Oktober tahun lalu, bagi mempertahankan Piala Agong yang diperkenalkan pada 1962.