"Saya fikir, akhirnya Piala Dunia 2022 tidak akan diadakan di Qatar," kata Zwanziger dalam wawancara bersama Sport Bild Plus.

Bekas ketua Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) itu memberitahu, suhu yang sangat tinggi ketika musim panas di Qatar merupakan antara punca utama Qatar akan kehilangan hak penganjuran temasya bola sepak terunggul dunia itu.

Bagaimanapun seorang jurucakap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkata itu adalah pendapat peribadinya sahaja.

"Apa yang dikatakan Zwanziger, itu merupakan pendapat peribadinya," kata jurucakap FIFA itu kepada SID, anak syarikat AFP ketika ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan itu.

Menurut Zwanziger: "Doktor berkata, dan saya menegaskan perkara yang terkandung di dalam protokol penganjuran, mereka juga tidak boleh memberi jaminan yang Piala Dunia boleh dianjurkan semasa musim panas di dalam keadaan ini (suhu tinggi)."

Ketika Qatar dilaporkan sedang membangunkan sistem penyejuk di dalam stadium, Zwanziger berkata: "Piala Dunia tidak hanya melibatkan stadium. Para peminat akan datang dari segenap penjuru dunia dan cuaca panas akan menjadi masalah buat mereka.

"Insiden pertama ialah meletakkan nyawa orang ramai di dalam bahaya dan itu boleh disiasat. Tiada sesiapa di dalam Jawatankuasa Eksekutif FIFA mahu terlibat dengan perkara seperti ini."

Tetapi dalam wawancara bersama akhbar Die Welt, ketua setiausaha jawatankuasa penganjuran Qatar 2022, Hassan al-Thawadi menegaskan dia pasti Piala Dunia 2022 akan berlangsung di Qatar.

"Tidak, saya tidak bimbang. Pertama sekali kerana tiada sebarang sebab untuk kehilangan hak penganjuran Piala Dunia.

"Keduanya kerana buat pertama kalinya Piala Dunia akan dianjurkan di Asia Barat.

"Orang ramai hanya akan terfikir mengenai konflik apabila melihat rantau ini. Piala Dunia akan menjadi sebuah majlis untuk menyatukan masyarakat dunia. Ia akan meninggalkan kesan yang sangat positif," katanya. - AFP