Berikutan keputusan itu, Felda United kini menduduki tangga tercorot kumpulan berkenaan dengan mengumpul lima mata selepas mengharungi lima perlawanan manakala Tampines Rovers di kedudukan ketiga dengan enam mata.

Pertama kali beraksi di stadium berkenaan dalam saingan Piala AFC, peluang terbaik skuad bimbingan B. Sathianathan untuk membuka tirai jaringan hadir pada minit ke-22 namun tendangan Norshahrul Idlan Talaha tersasar di sebelah kiri gawang pasukan pelawat.

Tujuh minit kemudian, kesilapan pemain pertahanan Felda United mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dihukum Ivan Dzoni bagi membolehkan Tampines Rovers mendahului 1-0.

Felda United menggandakan asakan pada babak kedua permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain import, Lucas Matias Cano namun percubaannya pada minit ke-49 ditepis keluar penjaga gol Tampines Rovers, Mohamad Izwan Mahbub.

Asakan skuad The Fighters membuahkan hasil seminit selepas itu apabila memperoleh jaringan penyamaan menerusi gerakan Norshahrul Idlan dari tepi padang dan melepaskan tendangan mengelirukan untuk menewaskan Mohamad Izwan.

Pemain gantian Tampines Rovers,  Khairul Amri kemudian menjadi watak pemusnah kepada Felda United menerusi dua jaringannya dalam tempoh  dua minit iaitu pada minit ke-68 dan 71.

Felda United bakal bertemu Hanoi FC dalam aksi terakhir peringkat kumpulan berkenaan di gelanggang lawan pada 3 Mei ini.  - UTUSAN ONLINE