Menurut Presiden PFAM, Hai­ruddin Omar, mereka akan me­ngadakan perbincangan dengan Gary hari ini untuk melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada pemain tengah itu.

“Buat masa sekarang saya tidak boleh komen lagi tentang perkara ini kerana kami hanya akan me­ngadakan perbincangan dengan Gary esok (hari ini).

“Dalam perbincangan tersebut kami akan menentukan apa tindakan susulan yang patut diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Kami akan menilai sama ada perlu membuat rayuan atau memohon untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan.

“Atau mungkin Gary mahu menerima hukuman tersebut dengan hati terbuka. Bagaimanapun semua terpulang kepada Gary bagaimana dia mahu menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Gary sebelum ini mencetus kontroversi dalam kancah bola sepak tempatan apabila menandatangani kontrak bersama dua pasukan iaitu Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu masa.

Natijahnya FAM memutuskan untuk mendenda bintang tengah Harimau Malaya itu sebanyak RM50,000 serta digantung tiga bulan daripada semua kejohanan anjuran FAM dan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) didenda RM100,000 dan diberi amaran keras kerana bersalah menandatangani Gary sebelum pemain tersebut mendapat surat pelepasan daripada FAM, malah dia juga sudah diper­kenalkan sebagai pemain JDT, bulan lalu.

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang turut menandatangani Gary tidak dikenakan hukuman, sebaliknya diberi amaran keras.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan selepas bermesyuarat lebih tiga jam di Wisma FAM, semalam.

PBNJ dan Gary bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas mengenai perkara itu.