Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, pihaknya baharu sahaja menerima surat aduan daripada pemain-pemain tersebut hari ini dan akan memanjangkan isu berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tambahnya, sebelum ini pihaknya telah memanjangkan isu tunggakan gaji pemain-pemain import pasukan tersebut ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Pihak PFAM telah menerima surat aduan daripada pemain-pemain Kuantan FA hari ini dan dalam proses menguruskan dokumen sebelum membawa kes ini kepada FAM. Status surat yang para pemain itu hantar ke FAM pun tidak tahu bagaimana.

“Selepas menghantarnya kepada FAM dan mendapat keputusan, PFAM akan memberitahu pihak media secepat mungkin. Mengenai aduan pemain import, pihak kami telah hantar kepada FIFA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, memorandum daripada pemain Kuantan FA telah tular dalam media sosial mengenai tuntutan kepada na pihak pengurusan Kuantan FA bagi menyelesaikan isu gaji tertunggak lebih 11 bulan itu.