MOHD. ABDUL KARIM KHAN
MOHD. ABDUL KARIM KHAN

Pemangku Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya diberi ruang kepada mereka menyelesaikan terlebih dahulu masalah membabitkan pucuk kepimpinan PFA.

“Apabila selesai PFA mengumumkan barisan kepimpinan baharu persatuan bola sepak negeri nanti, kita akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji ini.

“Insya-Allah masalah ini akan selesai dan kita berharap para pemain juga dapat bersabar kerana PFA selama ini tidak pernah berhenti berusaha untuk memberi yang terbaik kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan seramai 29 pemain Perlis telah membuat aduan kepada FAM berikutan majikan mereka gagal melunaskan tunggakan gaji yang berjumlah RM461,500.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub dilaporkan berkata, kesemua aduan tersebut telah diterima sepenuhnya dan PFA dikehendaki melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

PFA dikehendaki melunaskan tunggakan gaji tersebut dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan dibuat iaitu pada 29 0gos lalu.

Kegagalan berbuat demikian bakal menyaksikan persatuan terbabit diheret kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

Isu tunggakan gaji pemain Perlis bukan perkara baharu kerana beberapa pemain sebelum ini pernah mengadu tidak dibayar gaji sejak Mac lalu dan PFA pula berdepan krisis kewangan sejak awal musim.

Sementara itu, Abdul Karim turut berharap agar kerajaan negeri dapat membantu kerana masalah berkenaan melibatkan imej negeri.

“Sekurang-kurangnya isu ini boleh membuka mata kerajaan negeri untuk turut sama membantu,” katanya.- UTUSAN ONLINE