Perkara itu didedahkan bekas Kapten PNL2 tersebut, Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman, 30, yang berkata, pihaknya sudah pun berjumpa pegawai di pejabat berkenaan baru-baru ini untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Menurut Ezzrul Ikmanizar, berdasarkan pandangan pegawai itu, isu berhubung tunggakan gaji mereka boleh dibawa ke Mahkamah Buruh dengan bantuan peguam daripada pejabat tersebut.

“Kami (pemain PNL2 musim 2018) akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hak kami dan tidak sekali-kali halalkan wang (tunggakan) tersebut.

“Apatah lagi dengan kedatangan Ramadan yang hampir tiba, pelbagai persiapan perlu dilakukan,” katanya yang mewakili rakan-rakannya.

Ezzrul Ikmanizar dan 14 rakannya ditemui selepas mereka ditawarkan kontrak untuk bermain bersama Perlis FC sempena Majlis Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Harini Liga Terbuka Perlis 2019 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Jurulatih Perlis FC, Manja Man yang juga bekas Ketua Jurulatih PFA.

Sebelum ini, PNL2 diuar-uarkan bahawa Perlis bakal menerima geran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan tunggakan gaji melibatkan 18 orang pemainnya yang keseluruhan berjumlah RM400,000.

Tunggakan itu dijangka dibayar pada Mac lalu tetapi sehingga kini kesemua mereka masih belum menerima sebarang bayaran.

Mengenai penganjuran liga itu, Manja memberitahu, sebanyak 20 buah pasukan khususnya di utara tanah air akan berentap untuk merebut kejuaraan kejohanan tersebut yang akan bermula pada penghujung bulan ini.

Katanya, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Berhubung penubuhan Perlis FC, Manja berkata, langkah dilakukan seorang ahli perniagaan dari selatan tanah air yang enggan dikenali itu, telah memberi nafas baharu kepada bola sepak negeri ini.

“PFA kini sedang dilanda masalah dan mengubati ketiadaan PFA, penubuhan Perlis FC adalah langkah tepat untuk kita terus mencungkil bakat-bakat baharu dari Perlis,” katanya. - UTUSAN ONLINE