Mohd. Abdul Karim
MOHD. ABDUL KARIM

Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas Presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pihaknya akan mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan MFL bagi mendapat pertimbangan semula supaya Singa Utara diberi peluang beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.

Mengakui sedih dengan keputusan tersebut, namun Abdul Karim masih berharap agar Perlis sebagai sebuah pasukan bola sepak negeri yang pernah mencipta kegemilangan satu ketika dahulu diberi peluang.

"Kita akan terus mencuba minta sokongan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mengemukakan dokumen-dokumen serta kertas kerja baharu untuk meyakinkan MFL.

"Kami hanya diberikan masa seminggu dan tempoh itu tidak cukup dengan segala masalah yang ditinggalkan Presiden sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

MFL hari ini mengumumkan bahawa rayuan PFA untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia 2019 ditolak sekali gus menyaksikan keputusan badan itu menyingkirkan Singa Utara dalam saingan Liga Perdana musim ini dikekalkan.

Keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam selepas PFA mengemukakan dokumen sokongan kewangan bagi proses rayuan selama tujuh hari sejak keputusan pembatalan penyertaan Perlis dalam Liga Perdana pada 20 Februari lalu.

Keputusan penyingkiran Perlis sebelum ini diambil kerana skuad Singa Utara itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain serta PFA tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie masih berdiam diri dan hanya memohon maaf apabila dihubungi berhubung kemelut yang melanda Singa Utara ini.

"Dia (Ahmad Amizal) tidak mahu komen apa sebaliknya hanya mohon maaf dan dalam masa sama akan mencuba membantu. Tetapi sampai bila hendak mencuba," katanya. - UTUSAN ONLINE