Malah kata Zaiton, beliau menjangkakan keputusan dapat dicapai dalam tempoh kurang dua minggu selepas turut mengambil kira tindakan yang akan dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap FAM.

Zaiton juga menegaskan, tindakan yang bakal diambil adalah telus dan tanpa prejudis, malah sebarang pertimbangan tidak akan dipengaruhi oleh kedudukan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai tokoh yang disegani.

“Hari ini (semalam) saya sudah menerima jawapan surat tunjuk sebab daripada FAM yang dihantar terus ke pejabat kami. Mereka berjaya membalasnya mengikut masa yang ditetapkan.

“Saya perlu memperhalusi surat tersebut terlebih dulu sebelum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil. Kami perlu meneliti pelbagai aspek, namun saya percaya keputusan mampu dicapai dalam tempoh kurang dua minggu.

“Kami juga kena melihat apakah tindakan yang bakal diambil oleh FIFA terhadap FAM supaya tidak berlaku pertindihan hukuman, namun itu tidak bermakna, tindakan yang akan dikenakan oleh badan bola sepak dunia itu bakal mempengaruhi keputusan Pesuruhjaya Sukan,” kata Zaiton keputusan Utusan Malaysia.

FAM, yang bakal berdepan hukuman berat akibat tindakan liar penyokong membaling suar, mercun dan kerusi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 8 September lalu, sudahpun membalas surat tunjuk sebab yang diminta FIFA pada 18 September lalu.

FIFA dan Pesuruhjaya Sukan sebelum ini menghantar surat tunjuk sebab kepada badan bola sepak kebangsaan itu bertarikh 9 September dan memberi tempoh 14 hari kepada mereka untuk menjawabnya.

Dalam insiden buruk di Stadium Shah Alam, awal bulan ini, perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi dihentikan oleh pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man pada minit ke-88 ekoran kekecohan yang dicetuskan penyokong ketika skuad Harimau Malaya sedang ketinggalan 1-2.

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan pernah berkata, antara hukuman yang mungkin dikenakan oleh FIFA adalah memberi kemenangan kepada pasukan pelawat (3-0).

FAM juga katanya boleh didenda AS$400,000 (RM1.71 juta) dan perlu beraksi dalam dua atau tiga perlawanan tanpa penonton.

Nasib FAM bertambah buruk selepas insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy tidak menolak kemungkinan terpaksa mengambil langkah lebih drastik, termasuk menggantung badan induk bola sepak negara itu dengan menggunakan Akta Pembangunan Sukan 1997.