Pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin berkata, pasukannya yang dibarisi kebanyakan pemain muda itu bijak memanfaatkan percaturan ketua jurulatih Mohd Nidzam Adzha Yusoff dalam misi perlawanan kali ini, sekali gus menebus semula kekalahan pasukan itu bersama Kelantan pada Selasa lepas.

“Walaupun turun sebagai pasukan pelawat di laman sendiri, kejayaan ini mengembalikan semula keyakinan dan motivasi pemain untuk bertemu Kuala Lumpur pada 20 Jun depan serta memperbaiki kedudukan dalam liga,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan itu malam tadi

Beliau berkata pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bertungkus-lumus menjaga kubu daripada dibolosi pihak lawan dan pada masa sama melakukan serangan berbahaya ke kubu Kelantan terutama ketika babak kedua permainan.

Selain itu, beliau berkata, penjaga gol baharu Kedah, Ramadhan Hamid yang beraksi cemerlang dan tenang dalam penampilan pertamanya menjaga gawang hingga tamat 90 minit permainan, turut menyumbang kemenangan kepada pasukan malam tadi.

Mengulas prestasi pemain import Paulo Rangel yang dilihat masih tercari-cari rentak permainan, Syed Khairul Anuar berkata, pemain itu masih baharu untuk dinilai keupayaannya bermain dengan pasukan dan berharap peluang diberikan kepada beliau untuk membuktikan keupayaannya sebagai penyerang.

Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah berkata, Kedah bermain begitu baik sehingga menidakkan tiga mata buat pasukannya pada perlawanan kali ini.

“Tahniah kepada pasukan Kedah dan tentu keputusan ini mengecewakan buat Kelantan yang bakal berdepan baki tujuh perlawanan yang merumitkan dalam usaha untuk kekal dalam liga...apa pun kita kena bangkit selepas Aidilfitri ini bertemu PKNS,” katanya.

Beliau berharap pemain import baharu Kelantan dari Brazil Cristiano Santos yang mungkin bermain pada perlawanan itu dapat berkombinasi dengan baik bersama pasukan bagi meraih kemenangan.

Dalam pertemuan malam tadi, Kedah menewaskan Kelantan 1-0 melalui Paulo Rangel dan meletakkan Kedah kekal berada pada tangga keempat dengan berkongsi 24 mata bersama pasukan Perak dan Pahang, manakala Kelantan berada pada tempat paling bawah liga dengan 11 mata. – BERNAMA