MOHAMED SALAH (kiri) bersama Ramzan Kadyrov ketika menyaksikan sesi latihan skuad Mesir di Grozny. AFP

Sebaik bintang Mesir itu turun ke bawah, dia mendapati tetamu tersebut merupakan pemimpin Chechya, Ramzan Kadyrov. Bekas pemberontak yang disokong oleh Moscow itu meminta bantuan Salah untuk menemaninya ke stadium di mana skuad Piala Dunia Mesir sedang menjalani latihan dan ribuan peminat tempatan turut hadir.

Salah tidak menolak permintaannya, dan mereka berdua telah muncul di stadium yang diberi nama bersempena bapa Kadyrov yang dibunuh. Sebaik mereka masuk ke stadium, para peminat yang hadir telah memberikan tepukan dan sorakan gemuruh.

Salah menyarungkan jersi Mesir berwarna putih, dan Kadyrov pula mengenakan pakaian sukan berwarna hijau dan putih.

Kejadian yang berlaku pada petang Ahad itu telah mencetuskan kekecohan di media sosial apabila pemimpin Chechnya tersebut yang memiliki rekod buruk terhadap hak asasi manusia, dikritik hebat kerana dituduh sengaja menggunakan Salah untuk meraih populariti.

Bagi pihak Mesir pula, peristiwa tersebut pasti akan dingat untuk satu tempoh yang lama ekoran kegagalan mereka memahami isu tempatan.

“Ini Kadyrov yang cuba memanfaatkan Chechnya sebagai lokasi pangkalan pasukan Piala Dunia dalam usahanya meraih populariti...100 peratus ia boleh diramal,” kata Timbalan Pengarah Hak Asasi Manusia untuk Eropah dan Asia Tengah, Rachel Denber.

Keputusan The Pharaoh memilih Grozny sebagai lokasi pangkalan latihan mereka telah dipertikaikan, memandangkan pendirian kerajaan Mesir sendiri yang tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan Islam.

Bercakap kepada The Associated Press, Pengarah Eksekutif Skuad Bola Sepak Mesir, Eihab Leheita berkata, pihaknya tidak menyesal membuat keputusan memilih Grozny sebagai pangkalan latihan kepada pasukan yang kesemua pemainnya beragama Islam.

Namun, ketika diajukan pertanyaan tentang pertemuan Salah dan Kadyrov, Leheita enggan mengulas lanjut, malah sebaliknya dia minta soalan itu diajukan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang turut menolak untuk menjawab isu berkenaan. – AGENSI