Satu lonjakan taraf yang diperoleh United berbanding musim lalu apabila merangkul kemenangan dalam Liga Europa dan Piala Liga. Berdasarkan senario itu, memang tidak boleh dipertikaikan bahawa musim kedua Jose Mourinho selaku pengendali United boleh dikatakan berjaya.

Bagaimanapun, dalam kempen Liga Perdana Inggeris situasinya berbeza kerana pasukan yang diramal merangkul gelaran hampir pasti mampu berbuat demikian.

Dengan sembilan perlawanan masih berbaki, gelaran Liga Perdana sudahpun terlepas daripada genggaman United dengan trofi hampir pasti menjadi milik Manchester City menerusi jurang 16 mata yang dimiliki kelab yang berpangkalan di Stadium Etihad itu sekarang.

Walaupun terpaksa menerima hakikat itu, Mourinho dan anak-anak buahnya perlu fokus dengan perlawanan yang masih berbaki, malah pengurus itu sendiri mengakui, dia telahpun menghalakan fokusnya untuk tahun depan.

Namun begitu, kunjungan Liverpool ke Old Trafford Sabtu ini perlu diberi keutamaan terlebih dahulu. Bukan calang-calang lawan, pencabar mereka merupakan skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Dengan kedua-dua pasukan dipisahkan oleh satu anak tangga dan dua mata dalam carta Liga Perdana, ini merupakan peluang terbaik kepada United mahupun Liverpool mencipta jurang dan menghapuskan keraguan untuk kekal berada dalam kelompok empat terbaik.

Bagaimanapun, masih ada ruang untuk membuktikan kekuatan menjelang musim akan datang. Gary Neville berkata, United perlu bersedia daripada sekarang bagi memburu gelaran musim depan.

“Musim depan akan menjadi tahun ketiga Jose berada di United. Anda sudah pasti dapat menjangkakan apa yang ada dalam fikirannya iaitu dia perlu merangkul gelaran musim depan,” kata Neville kepada Sky Sports.

Kemenangan ke atas Liverpool bakal membuktikan United ber­upaya merapatkan jurang dengan Manchester City pada masa ini tahun depan. Sama ada musim United akan berakhir dengan kejayaan atau sebaliknya, bukanlah ditentukan dalam pertandingan selain Liga Perdana.

Liverpool pula, yang mendapat suntikan semangat menerusi gol-gol Mohamed Salah serta kejayaan mengikat Virgil van Dijk ketika jendela perpindahan Januari dan menjadi sebuah pasukan yang berjaya mengalahkan City dalam saingan liga musim ini, juga sudah tentu turut mahu mengintai peluang. – AGENSI