Ronaldo, penyandang Pemain Terbaik Tahunan, kembali ke landasan asal tepat pada waktu dalam persediaan Real ke saingan berprestij Eropah itu.

PSG dalam pada itu, meletakkan harapan tinggi kepada Neymar, yang juga pemain termahal dunia dan pemenang Ballon d’Or pada masa hadapan, untuk melakar nama di pentas Eropah kali ini.

Bintang Brazil itu meninggalkan Barcelona untuk berpindah ke Paris, sekali gus meninggalkan bayangan Lionel Messi. Nyata penghijrahannya menjadi bualan hangat di ibu negara Sepanyol itu, yang mana Neymar berpeluang untuk menggantikan tempat Ronaldo.

Laluan Neymar ke Ballon d’Or sering disekat oleh Messi dan Ronaldo, dengan masing-masing pernah memenangi anugerah tersebut sebanyak lima kali dalam tempoh 10 tahun terakhir.

Jika Neymar, yang tujuh tahun lebih muda daripada penyerang sensasi Portugal itu, menyuntik inspirasi kepada PSG untuk memenangi pertembungan ini, sebelum menjuarai pertandingan itu di pentas akhir pada Mei nanti, pasti dia berpeluang cerah untuk mendominasi anugerah tersebut.

Ronaldo yang menjangkau usia 33 tahun pada Isnin lalu bagaimanapun tersasar daripada peluang tersebut kali ini.

Dia sekadar menjaringkan empat gol sepanjang 18 perlawanan terawal La Liga, selain memulakan saingan musim ini dengan agak perlahan dan dibayangi isu pengelakan cukai.

Bagaimanapun ledakan hatrik dalam kemenangan 5-2 ke atas Real Sociedad pada hujung minggu lalu, menokok kepada tujuh gol setakat ini.

‘CR7’ kini telah mengumpul 23 gol dalam semua pertandingan musim ini, lebih banyak berbanding tahun lepas di peringkat yang sama.

“Saya sering fokus untuk memperagakan aksi di tahap tertinggi dan ada kalanya perkara tersebut tidak berlaku dan terasar daripada apa yang dirancang,” kata Ronaldo menerusi realmadrid.com. – AFP