JDT dan Selangor berkongsi 10 mata tetapi skuad Harimau Selatan mengungguli saingan menerusi perbezaan gol.

Pengendali JDT, Ulisses Morais berkata, perlawanan ini juga adalah pentas terbaik buat pasukannya untuk menebus kekalahan 3-2 kepada Red Giants dalam pusingan pertama, Julai lalu.

“Ketika ini pemain masih mencari rentak kerana berehat agak lama. Apa pun kemena­ngan tetap fokus pasukan.

“Beraksi di laman sendiri juga banyak memberi kami kelebihan selain mendorong pemain untuk beraksi lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Selangor, Morais mengakui ia agak mencabar kerana beberapa tonggak terpaksa dilepaskan untuk tugasan bersama skuad kebangsaan.

“Tujuh pemain dipanggil untuk skuad negara dan ia menghadkan latihan, tetapi saya ya­kin persediaan itu ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, JDT terus menjadi tumpuan apabila beberapa pihak antarabangsa menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan kelab bola sepak itu.

Semalam, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima kunjungan wakil kerajaan Turki diketuai Dutanya, Basak Turkoglu di Istana Bukit Pelangi di sini.

Basak yang turut mewakili Netas, sebuah syarikat terbesar dalam bidang teknologi di negara itu menyatakan minat untuk melabur bersama-sama kelab JDT dan juga di negeri ini.