Kim Swee berkata persembahan pemain yang dipamerkan ketika menumpaskan PNG 2-1 di Stadium Shah Alam pada Isnin lalu serta dua sesi latihan akan menjadi rujukannya dalam memilih kesebelasan utama untuk perlawanan pertama dalam Kumpulan B itu.

“Kami tiba di Myanmar lewat tengah hari semalam namun masih berkesempatan menjalani sesi latihan dan saya mendapati mereka semua tidak mengalami sebarang masalah malah cergas dan bebas daripada masalah kecederaan.

“Kesebelasan pemain untuk bertemu Kemboja saya sudah dapat berdasarkan perlawanan menentang PNG dan selain daripada aksi itu saya juga akan menilai pemain dalam dua hari latihan.

“Mungkin tidak banyak per­ubahan. Mungkin satu atau dua pemain ditukarkan dan paling ramai pun tiga,” katanya kepada pemberita di Stadium Aung San hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia masih dihantui de­ngan kekecewaan empat tahun lalu sewaktu membimbing skuad Bawah 22 negara apabila gagal dalam kejohanan kelayakan AFC Bawah 22 setelah tumpas 2-1 kepada Myanmar di venue yang sama, Kim Swee berkata Piala AFF merupakan kejohanan yang berbeza.

“Sebelum ini saya membim­bing skuad Bawah 22 namun kali ini terdapat perbezaan kerana ini adalah kejohanan berprestij di Asia Tenggara.

“Penting untuk kita layak ke peringkat separuh akhir dan tiga keputusan perlawanan di peringkat kumpulan amat penting untuk kami,” katanya lagi. – UTUSAN