Hubungan kasih yang telah terjalin sejak setahun lalu itu, sering kali meraih tumpuan lensa kamera media Britain dan khabar terbaharu mengenai ‘merpati sejoli’ itu mereka dikatakan telah merancang untuk tinggal sebumbung.

Tindakan Perrie yang menjual kediamannya di Surrey telah mencetuskan spekulasi bahawa pasangan tersebut sudah bersedia memasuki gerbang perkahwinan.

Penyanyi berusia 25 tahun itu menjual banglo yang memiliki tiga buah bilik tidur pada Disember lalu dengan harga 800,000 pound (RM4.38 juta) dan dia dikatakan meraih keuntungan 100,000 pound (RM548,019) setelah membeli kediaman tersebut pada harga 700,000 pound (RM3.83 juta).

Menurut sumber rapat bintang Little Mix itu, Edwards sudah bersedia untuk duduk sebumbung bersama Oxlade-Chamberlain dalam masa terdekat ini.

“Perrie dan Alex amat rapat, dan hubungan mereka berjalan lancar. Jadi, tiada sesiapapun akan terkejut jika mereka tinggal bersama nanti.

“Perrie sering bercerita tentang impiannya untuk bangun pagi dengan Alex disisinya setiap hari,” kata kenalan pe­nyanyi itu kepada akhbar Bri­tain, The Sun.

Pada Ogos lalu, Oxlade-Chamberlain telah berpindah dari kelab lamanya, Arsenal yang berpangkalan di London ke barat laut England, Liverpool.

Bagaimanapun, pelantun lagu Black Magic, Edwards tidak melihat perpindahan itu sebagai satu masalah kerana mereka sudah terbiasa menjalani hubu­ngan jarak jauh.

“Saya tidak fikir ia satu masalah. Mungkin perubahan baharu, tetapi kami baik-baik sahaja. Saya gembira dan berbangga dengan apa yang dilakukan Alex,” jelas Edwards.

Bintang tengah Liverpool itu yang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan sewaktu Reds mengalahkan Manchester City 4-3, ming­gu lalu, bertemu dengan Edwards pada 2016 tetapi hanya mengesahkan hubu­ngan cinta mereka pada Januari 2017.

Pada Disember lepas, pasangan muda itu meraikan sambutan Krismas bersama dengan Edwards menyertai keluarga Oxlade-Chamberlain, malah dia turut berkongsi hari gembira itu bersama para peminat menerusi akaun Instragram miliknya.

Sejak menjalin hubu­ngan kasih, Edwards juga menjadi penyokong kuat kepada karier Oxlade-Chamberlain.

Ini dapat dibuktikan apabila penyanyi popular itu sanggup mengharungi hujan dalam cuaca sejuk demi menyaksikan pertemuan antara Liverpool menentang Burnley di Stadium Turf Moor pada sambutan tahun baharu lalu.

Dengan ditemani ibu Oxlade-Chamberlain, Wendy Oxlade, Edwards duduk bersama penyokong Reds menyaksikan perlawanan yang berkesudahan Li­verpool menang 2-1.

Selepas ber­de­pan detik pahit putus tunang dengan penyanyi terkenal, Zayn Malik kehadiran Oxlade-Chamberlain kembali menceriakan hidup Edwards.