Sokongan luar biasa daripada penyokong tuan rumah membolehkan Rusia mengubati kekecewaan dalam aksi di Stadium Luzhniki bagi Kumpulan A, yang turut dihadiri Presiden Vladimir Putin dan Putera Mahkota Arab Saudi.

Arab Saudi yang menghuni anak tangga ketiga di belakang Rusia di kedudukan ke-67 ranking dunia, beraksi dengan baik, kemas setiap masa namun gagal mengatasi tenaga luar biasa tuan rumah.

Terdahulu, skuad Sbornaya mengalami tiga siri kekalahan dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia dengan pertama kepada Brazil 0-3 pada 24 Mac lalu, diikuti Perancis 1-3 (27 Mac) dan Austria 0-1 (31 Mei) sebelum diikat Turki 1-1 (6 Jun).

Dalam aksi tersebut, Rusia mula berpesta seawal minit ke-12 apabila Yury Gazinsky membuka jaringan menerusi tandukan sebelum Denis Cheryshev menggandakan jaringan dua minit menjelang waktu rehat.

Memasuki babak kedua, Artem Dzyuba menanduk masuk untuk kedudukan Rusia 3-0, dengan Cheryshev kemudian meledak satu lagi gol sebelum Aleksandr Golovin melengkapkan kemenangan bergaya tersebut, masing-masing pada masa kecederaan.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Mesir dan Uruguay dijadualkan bersaing pada pukul 8 malam hari ini waktu malaysia di Yekaterinburg.- REUTERS