Kemenangan itu membolehkan JDT, yang turun selaku juara bertahan mara ke separuh akhir menerusi agregat 3-1.

Menurut Figueroa, prestasi Safawi berada pada tahap yang memberangsangkan dan yakin pemain itu mampu menjadi lebih bagus pada masa akan datang.

Pengurus kelahiran Argentina itu turut menghamburkan pujian kepada semua pemain skuad Harimau Selatan yang beraksi cemerlang pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia.

“Saya sangat gembira dengan keputusan pada perlawanan ini. Walaupun kami terlepas empat atau lima peluang terhidang untuk mencipta jaringan, namun kekecewaan itu diubati dengan dua jaringan Safawi pada setiap babak perlawanan.

“Kesemua pemain pada malam ini, mereka memulakan perlawanan dengan aksi yang menakjubkan dan sentiasa mengawal bola serta melakukan serangan seperti yang kami mahukan,” katanya selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Pahang, semalam.

Dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, Safawi muncul wira JDT selepas meledak kedua-dua gol tuan rumah. - UTUSAN ONLINE