Syarikat dikenali sebagai Harini Sdn Bhd itu akan mencari bakat baharu bagi memperkuatkan Perlis FC dengan mewujudkan Liga Bola Sepak Harini yang menghimpunkan 25 pasukan bola sepak tempatan dan antarabangsa seperti Thailand serta Indonesia bermula akhir bulan ini.

Juara Liga Harini bakal diberikan peluang untuk mewakili pasukan Perlis FC bagi menyertai slot dalam Liga M3 pada musim depan.

Jurucakap Harini Sdn Bhd, Nor Azhar Mohd Rosli berkata, mereka akan bergerak sendiri dan tidak terbabit dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sama ada secara langsung atau tidak.

Katanya, PFA masih wujud sebagai persatuan dan pihaknya juga sudah bertemu badan induk bola sepak negeri itu untuk memaklumkan kewujudan liga tersebut yang dalam usaha ke arah mewujudkan Perlis FC tahun hadapan.

“Kami tidak ganggu perjalanan PFA, Perlis FC pula adalah hak individu atau swasta dan pasukan berteraskan perniagaan. Sebagai tanda penghormatan kami sudah maklumkan kepada mereka mengenai objektif Liga Harini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perlancaran Liga Bola Sepak Terbuka Harini di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tambah beliau, sebelum ini, syarikat itu menunjukkan minat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan PFA, namun atas faktor tertentu mereka tidak meneruskan hasrat itu.

“Perbincangan serius antara kami belum ada untuk itu dan apa yang sedang dibuat (Liga Harini) adalah pembangunan bola sepak di Perlis melalui cara kami. Jadi Harini adalah satu kumpulan yang bergerak sendiri dan kami tidak terbabit dengan PFA baik secara langsung mahupun tidak,” katanya.

Sementara itu, bekas pengendali skuad Piala Presiden Perlis, Manja Man berkata, kehadiran syarikat swasta yang bertujuan membangunkan sukan bola sepak di negeri ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh peminat.

Beliau yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal Liga Harini mengakui, kewujudan liga tersebut menandakan pembangunan bola sepak Perlis masih hidup.

“Kita kini sedang menjalani beberapa fasa dalam menentukan hala tuju. Jadi perlu ada syarikat swasta yang bergerak untuk membangunkan bola sepak di negeri ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE