Ribuan penyokong tuan rumah mahu pun England tidak dibenarkan memasuki Stadium HNK Rijeka kerana hukuman yang dikenakan badan bola sepak Eropah, UEFA terhadap Croatia masih berjalan.

Croatia dihukum beraksi tanpa penonton dalam dua perlawanan di tempat sendiri selepas permukaan padang Stadium Polijud di Split, yang menjadi venue kelayakan Kejohanan Eropah 2016 menentang Itali pada Jun, 2015 telah ditanda dengan lambang swastika (simbol nazi).

Penyokong Croatia dan England menggelar pertembungan itu sebagai ‘perlawanan hantu’ kerana hanya petugas televi­syen dan media dibenarkan masuk membuat liputan.

Pengurus England, Gareth Southgate pula mengarahkan pemainnya menonton rakaman perlawanan Barcelona dan Las Palmas yang berlangsung dalam stadium kosong tahun lalu bagi mendapatkan gambaran suasana yang bakal menanti.

Kata Southgate, suasana agak janggal buat pemainnya, namun dia percaya, keadaan itu tidak memberi impak buat Croatia, pasukan yang menyingkirkan Three Lions dalam separuh ­akhir Piala Dunia, Julai lalu.

“Ini kali pertama kami akan merasai pengalaman beraksi dalam perlawanan seperti ini.

“Saya percaya, pemain lebih puas jika dapat beraksi dalam stadium penuh tetapi peluang seperti ini (menentang tuan rumah tanpa penyokong mereka) tidak selalunya hadir.

“Apa pun, saya tidak fikir situasi itu memberi impak besar Croatia. Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti dan berpengalaman yang boleh menangani keadaan,” ujar Southgate.

England perlu menang jika mahu menghidupkan peluang menjadi dua pasukan terbaik Kumpulan 4 selepas tewas 1-2 kepada Sepanyol dalam aksi pertama, 8 September lalu. – AGENSI