Menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan, Malaysia mara ke perlawanan akhir dan detik manis itu dapat disaksikan sendiri Pit Firdaus bersama lebih 1,000 ahli Ultras Malaya.

Menerusi nukilannya di Facebook, berikut antara perkongsian pengalaman Pit Firdaus di Bangkok: “Sejurus sepakan penalti Adisak Kraisorn pada minit akhir permainan melambung ke ruang udara semalam, sebahagian daripada penyokong Ultras Malaya berpelukan sesama sendiri, malah ada yang menitiskan air mata meraikan kejayaan Malaysia ke final Piala AFF 2018.
 “Segala penat lelah mengharungi perjalanan terutamanya melalui jalan darat dari Padang Besar ke Bangkok sejauh lebih 1,600 kilometer selama lebih 16 jam dirasakan amat berbaloi. Trip penyokong Malaysia terutamanya bagi lebih 1,000 Ultras Malaya ke Stadium Rajamangala bukan serentak kerana komitmen masing-masing, selain faktor kewangan.

“Ada yang memandu kenderaan sendiri, mengambil penerbangan dari Hatyai atau Phuket ke Bangkok. Ada menaiki kereta api dari Padang Besar. Ada juga yang menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur, semuanya kerana ingin memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya.

“Beberapa hari sebelum perlawanan, Ultras Malaya melancarkan perang media sosial apabila menularkan tanda pagar Takluk Rajamangala, satu perkataan yang sangat berat apabila sedia maklum reputasi tuan rumah sebagai Raja ASEAN. Namun, segalanya tidak mustahil apatah lagi Thailand gagal mendapat jaringan gol di tempat lawan ketika kedua-dua pasukan bertempur di Stadium Nasional Bukit Jalil.”