Bukan sahaja tegang kerana berada di ambang peperangan, kejohanan kali ini juga panas dengan penarikan diri Argentina dan juara pertama Uruguay yang marah kerana kejohanan itu berlangsung buat kali kedua berturut-turut di Eropah.

Tanpa Sepanyol yang ketika itu juga sedang berdepan perang saudara dan Austria yang menarik diri pada saat akhir, semua masalah tersebut bagaimanapun langsung tidak menjejaskan kemeriahan dan kerancakan persaingan antara 15 pasukan yang bertanding.

Kesemua pasukan yang beraksi mewakili empat benua. Perlawanan paling sengit dapat disaksikan ketika Brazil menewaskan Poland 6-5 selepas masa tambahan dalam perlawanan kalah mati yang berlangsung di Strasbourg.

Brazil melangkah ke separuh akhir tetapi terpaksa bertemu juara bertahan Itali. Dalam perlawanan tersebut Giuseppe Meazza menjaringkan gol kemenangan Itali menerusi sepakan penalti.

Itali mudah melangkah ke perlawanan akhir hasil kejayaan menumpaskan Norway 2-1 dan Perancis 3-1 dalam peringkat awal sebelum menundukkan Brazil 2-1 dalam separuh akhir.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Hungary membelasah Sweden 5-1 untuk menempah tiket bertemu Itali pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stade Colombes, Paris.

Terdahulu di peringkat awal, Hungary membelasah Indonesia yang ketika itu dikenali sebagai Dutch East Indies dengan jaringan 6-0 dan menundukkan Switzerland 2-0 sebelum bertemu Sweden di separuh akhir.

Dalam perlawanan akhir itu, dua jaringan Gino Colaussi dan Silvio Piola memastikan kejuaraan milik Itali dengan kemenangan 4-2 ke atas Hungary.