Permainan kedua-dua pasukan seimbang. Dua gol dijaringkan Perancis bukanlah luar biasa. Satu daripada tandukan hasil sepakan percuma dan satu lagi hasil kesilapan Muslera.

Selain daripada dua gol dijaringkan Perancis, tiada percubaan ke arah gol yang benar-benar menguji.

Giroud bertungkus-lumus untuk memenangi bola ketika perebutan di udara tetapi sering kali dipatahkan oleh gandingan Godin-Gimenez.

Griezmann pula, selain gol hasil kesilapan Muslera, tiada peluang yang benar-benar bahaya ditawarkan untuk bahagian serangan Perancis.

Mbappe, selain 'drama' kekecohan yang timbul, ada membuat beberapa gerakan cantik terutamanya pada separuh masa pertama. Penyerang PSG itu cuba mencipta peluang melalui larian deras seperti dilakukan ketika kemenangan ke atas Argentina, tetapi hari ini kurang 'menyengat'.

Berbeza dengan Uruguay, ada beberapa situasi serangan pasukan Amerika Selatan itu menimbulkan situasi cemas kem Perancis.

Paling menonjol ialah tandukan Caceres hasil sepakan percuma Torreira tetapi Lloris membuktikan beliau adalah antara penjaga gol berkelas dunia dengan aksi akrobatik menyelamatkan keadaan.

Dengan Cavani di bangku simpanan kerana tidak sempat pulih daripada kecederaan, tiada apa boleh disumbangkan oleh Suarez. Sesuatu yang pasti menghampakan peminat serta penyokong Uruguay.

Yang paling ketara di dalam permainan ini ialah midfield Perancis berjaya mendominasi midfield Uruguay. Pogba-Kante-Tolisso berjaya menguasai kawasan tengah sekali gus mengawal permainan Perancis.

Dengan pergerakan Bentancur serta Torreira disekat oleh midfield Perancis, sukar untuk jentera tengah Uruguay melorongkan bola kepada barisan serangan mereka terutamanya Suarez.

Ini mungkin menjadi antara penyebab Perancis berjaya mengatasi Uruguay. Mendominasi midfield, memastikan bola tidak dilorongkan kepada Suarez dan memberi tekanan kepada pertahanan lawan sehingga melakukan kesilapan yang menghasilkan gol.

Meskipun tidak melepaskan sebarang gol, namun pertahanan Perancis masih perlu diberikan perhatian. Lebih-lebih lagi lawan yang akan dihadapi pada peringkat separuh akhir (antara Brazil atau Belgium) merupakan pasukan 'menyerang'.

Yang perlu diberi tumpuan berat ialah pada posisi bek kiri. Hernandez kurang meyakinkan, sering bocor dan melakukan kesilapan. Uruguay menyedari 'masalah' itu dan boleh dilihat serangan mereka lebih berat di sebelah kiri Perancis.

Deschamps perlu mengambil serius permasalahan itu, sekiranya mahu memastikan pasukan bimbingannya mara ke final.

Bagi Uruguay pula, gol kedua telah 'membunuh' semangat beberapa pemainnya. Gimenez dilihat mengalirkan air mata sebelum perlawanan tamat lagi. Muslera pastinya tidak boleh tidur malam dan kesilapan ini akan diingati bertahun-tahun lamanya.

Mungkin ini Piala Dunia yang terakhir untuk gandingam Suarez-Cavani memandangkan keduanya telah berusia lebih 30 tahun. Setakat ini tidak nampak lagi gandingan penyerang yang mampu menggantikan kedua mereka.

Bagaimanapun, tidak bermakna Uruguay tidak mampu bangkit selepas edisi kali ini. Mereka mempunyai pemain-pemain muda seperti Bentancur, Torreira dan Gimenez yang mempunyai masa depan cerah. - UTUSAN ONLINE