Skuad Les Bleus akan menentang Argentina yang mengesahkan tiket mereka ke pusingan 16 pasukan terakhir dengan menduduki tempat kedua Kumpulan D hasil kemenangan 2-1 ke atas Nigeria.

“Fasa kedua kejohanan akan bermula, penyingkiran 16 pasukan terakhir. Terdapat sebuah gunung besar di hadapan kami sekarang namun kami sudah tiba di sana dengan harapan besar untuk mara ke peringkat seterusnya (suku akhir),” kata Deschamps.

Perancis meledak tiga gol sepanjang kempen peringkat kumpulan termasuk satu gol sendiri pasukan lawan dan satu penalti.

“Matlamat sudah dicapai, apa yang penting adalah menduduki tempat teratas kumpulan. Perlawanan ini tidak mengujakan kerana Denmark hanya memerlukan seri untuk mengesahkan slot mereka.

“Kami cuba mencari kemenangan. Pada penghujungnya mereka menyekat langkah kami dan perlawanan menjadi neutral pada 15 minit terakhir. Satu mata daripada keputusan seri ini sudah cukup untuk mereka. Kami tidak akan mengambil risiko kerana keputusan ini sudah memadai untuk semua orang,” kata jurulatih berusia 49 tahun itu.

Antoine Griezmann dikawal ketat oleh pertahanan Denmark sehingga menyukarkan penyerang Atletico Madrid itu mengasak kubu lawan namun selepas dia digantikan dengan Nabil Fekir pada 20 minit terakhir barulah penjaga gol Danish Dynamite, Kasper Schmeichel diuji. – AFP