Selepas menewaskan Croatia 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Rusia, pasukan itu pulang ke Paris untuk menemui penyokong yang amat berharap dapat melihat kelibat pemain kesayangan yang telah menambat hati rakyat Perancis.

Mereka tidak mengecewakan apabila Piala Dunia berwarna emas itu dipegang secara bergilir-gilir oleh pemain sambil melompat-lompat dan menari di atas bas tanpa bumbung dengan Juara Dunia terpampang pada dinding kenderaan yang mereka naiki.

“Wow, benar-benar gila! Mereka terlalu cantik, Perancis cukup indah!” kata Julia Cohen, 28, selepas menyaksikan pemain melintas melalui Champs-Elysees, tempat berkumpul setiap kali perayaan kebangsaan diadakan.

Perarakan tersebut diadakan di bawah kawalan ketat pihak berkuasa, dengan 2,000 anggota polis dikerah ke ibu negara bagi memastikan keselamatan kira-kira 300,000 penyokong yang hadir terjamin.

Di ruang udara di mana lokasi orang ramai berparti, sebanyak sembilan jet dari Patrouille de France, iaitu unit akrobatik pasukan Tentera Udara Perancis telah menyempurnakan lintas hormat dengan asap berwarna biru, putih dan merah mewarnai langit Paris.

Selepas meninggalkan Champs-Elysees, pemain menukar pakaian kepada sut sebelum kehadiran mereka dialu-alukan di Elysee Palace oleh Presiden Emmanuel Macron dan isterinya Brigitte, yang turut menggayakan busana berwarna biru untuk majlis khas tersebut.

Macron sebelum ini telah berjanji untuk memberikan Legion of Honor kepada pemain Les Blues kerana ‘perkhidmatan luar biasa’ kepada negara, anugerah yang pernah diberikan kepada pasukan legenda yang memenangi Piala Dunia pertama Perancis pada 1998.

Pasangan pertama negara itu kemudiannya meluangkan masa mereka dengan bergambar bersama pasukan dan menyanyi lagu kebangsaan Marseillaise, sebelum masuk ke dalam istana untuk menghadiri pertemuan tertutup.

“Terima kasih kepada anda semua! Pasukan ini cukup hebat kerana anda semua berjaya mempamerkan semangat berpasukan,” kata Macron kepada pasukan selepas berkumpul sekali lagi di perkarangan istana. – AFP