Dengan kejayaan terbaharu mereka Perancis kini berada sebaris dengan dua pasukan dari Amerika Selatan, Argentina dan Uruguay yang pernah memenangi kejohanan bola sepak paling prestij ini sebanyak dua kali.

Les Bleus meraih gelaran juara pertamanya selepas menewaskan Brazil 3-0 di tempat sendiri dengan Croatia pula muncul pemenang tempat ketiga ketika itu selepas menewaskan Belanda.

Kemenangan kali ini bermakna Perancis mengulangi kejayaan mereka ke atas Croatia dalam edisi 1998 apabila mengalahkan lawan mereka dalam separuh akhir.

Lebih malang lagi buat Croatia, kali ini penyerang harapan mereka Mario Mandzukic yang memulakan langkah kemenangan Perancis apabila menanduk bola ke gawang sendiri selepas cuba menghalang sepakan bebas Antoine Griezman pada minit ke-18.

Walau bagaimanapun, Ivan Perisic kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi percubaan menarik dalam kotak penalti untuk menewaskan Hugo Lloris.

Namun, Les Blues sekali lagi mendahului apabila diberikan sepakan penalti setelah pengadil perlawanan dari Argentina, Nestor Pitana mendakwa bola terkena tangan pemain Croatia dalam kotak penalti selepas dia melihat video bantuan pengadil (VAR).

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga berakhir babak pertama sekali gus memberi kelegaan kepada skuad bimbingan Didier Deschamps dan ribuan penyokong Perancis yang hadir memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Perancis meneruskan permainan agresif sebaik sahaja babak kedua bermula dan menambah jaringan ketiga menerusi Paul Pogba pada minit ke-59, sebelum bintang muda Les Blues Kylian Mbappe meledakkan gol keempat enam minit kemudian untuk meletakkan pasukannya selesa mendahului 4-1.

Penyerang Juventus, Mandzukic kembali meniupkan semangat pasukannya dengan merapatkan jurang jaringan pada minit ke-69 namun sudah terlambat untuk menyekat kejayaan daripada menjadi milik Perancis.

Sementara itu, kasut emas sah menjadi milik penyerang England, Harry Kane yang meledakkan enam gol, mengatasi pencabar terdekatnya Griezman dengan kelebihan satu gol.

Dalam pada itu, Mbappe muncul pemain termuda di era moden ini menjaringkan gol dalam perlawanan akhir sejak legenda bola sepak Brazil, Pele melakukannya pada 1958.

Kejayaan itu juga menyaksikan Deschamps muncul sebagai individu ketiga memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan juga jurulatih selepas Mario Zagallo dan Franz Beckenbauer.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui pasukan mudanya tidak mempamerkan aksi yang menarik tetapi mereka memiliki mental yang kuat untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Betapa mengagumkan! Pasukan muda, yang berada di puncak dunia, ada yang juara pada usia 19 tahun. Kami tidak mempamerkan permainan yang hebat tetapi kami menunjukkan kualiti mental dan kami menjaringkan empat gol,” katanya. – AGENSI.