Skuad bimbingan Irfan Bakti, Terengganu mendahului seawal minit kelapan menerusi Mohamad Ashari Samsudin yang pantas membuat susulan setelah bola sepakan rakan sepasukan, Tchetche Herman Kipre berjaya ditepis penjaga gol Perak,Muhammad Hafizul Hakim.

Pasukan pelawat sepatutnya mendahului dua gol apabila Herman Kipre dijatuhkan di dalam kotak penalti pada minit ke-38, namun Kipre gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Terengganu meraih gol kedua apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-45 selepas K.J. Partiban dijatuhkan pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan dan sepakan penalti mudah disempurnakan oleh Lee Andrew Tuck.

Perak terus ketinggalan setelah Wan Ahmad Amirzafran menjaringkan gol ketiga apabila menyambar bola sepak sepakan percuma Andrew Tuck pada minit ke-57.

Terengganu beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-70 apabila Andrew Tuck dilayangkan kad merah setelah melakukan terjahan keras pemain tengah Perak, Muhammad Firdaus Saiyadi.

Begitu pun, Terengganu terus mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan keempat pemain tengah, Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-81.

Perak cuba bangkit dan berjaya menjaringkan tiga gol masing-masing dua gol Wander Luiz pada minit ke-85 dan ke-89 serta penalti yang disempurnakan Leandro Dos Santos pada minit ke-90 dan kedudukan 3-4 bertahan sehingga wisel penamat. - UTUSAN ONLINE